Mengenal Allah adalah fokus utama agama Islam. Tanpanya agama dan kehidupan menjadi kosong dan tanpa ruh. Segala amal perbuatan tanpa ruh adalah terbuang dan sia-sia. Pada hari akhirat kelak, segala amalan yang baik-baik, tetapi tanpa ruh akan menjadi debu-debu yang berterbangan. Ruh kehidupan adalah Allah, tuhan pencipta segala. Allahlah cahaya petala langit dan bumi.
Dialah pemula kehidupan, pengurnia rezeki, pencetus keindahan dan penawar kedukaan. Jadi, apalah erti sebuah kehidupan tanpa mengenal Allah? Justeru mengenal Allah, dorongannya kuat, natijahnya agung, manakala perjalanannya mengasyikkan dan menghiburkan sekali. Mereka yang terlorong memasuki medan juang mengenal Allah adalah mereka yang paling beruntung perniagaannya dan paling menikmati hidupnya itu. Manakala mereka yang berusaha dan berkerja di dunia tanpaNya, maka mereka tidak mendakwa selain dusta, palsu dan sesal yang berpanjangan. Maka marilah sentiasa bermula dengan mengenal Allah. Berpagilah setiap hari melihat kehidupan ini dengan harapan melihat Allah yang bertebaran keagunganNya di segenap pelusuk alam.
Bertasbihlah dan bertahmidlah memujiNya. Rasailah kebesaranNya dan bertakbirlah mengagungkan zatNya yang maha besar. Jika anda mengikuti perbincangan di kolum ini ( rujuk blog saya untuk ulangan ) sedari awal, anda sebenarnya telah dilorongkan untuk memahami secara jelas dan mudah betapa akal kita begitu mudah untuk duduk berteleku dan begitu tekun untuk mencari dan mengenali Allah. Wajah sentiasa berkerut untuk bertanya, siapakah Engkau? Atau jika telah mengenaliNya, akal akan terus mengasak, ah, sungguh Engkaulah tuhan yang selayaknya dipuja dan disembah oleh seluruh kehidupan ini. Telah dijelaskan bahawa akal adalah tunjang kepada taklif dan ujian Allah ke atas manusia di dunia ini. Ertinya Allah telah menentukan bahawa akallah yang akan memulakan tugas untuk melaksanakan kewajiban taklif tersebut. Tidakkah anda dapati bahawa segala kewajiban yang diwajibkan agama akan didahului dengan syarat utama bahawa seseorang muslim itu hendaklah berakal atau disebut ‘akil baligh’? Jadi, kewajiban pertama akal adalah mengenali Allah kerana dengannya manusia akan menerima taklif tersebut secara faham dan akur.
Ia adalah tuntutan dan matlamat penciptaannya oleh tuhannya. Sebelum kita melihat bagaimana akal berkerja secara semulajadi untuk mengenali Allah, kita perlu faham bahawa oleh kerana kewajiban ini adalah yang paling utama ke atas akal, maka sudah tentu Allah telah memudahkan laluan untuk akal memahaminya. Adalah sukar, bahkan mustahil difahami bahawa Allah sengaja memayahkan manusia memahami kewajiban dan taklif ini sehinggakan mereka kembali kepada Allah selepas mati dalam keadaan kebingungan dan terkial-kial kerana langsung tidak mengetahui hakikat dan tujuan penciptaannya di dunia dahulu. Tetapi tidakkah anda telah menyaksikan kejadian sebaliknya? Manusia hari ini seperti langsung tidak mengetahui dan tidak menghiraukan tujuan dan matlamat Allah menciptakan mereka, sebaliknya masing-masing membawa diri untuk memahami kehidupan, seterusnya membina sendiri matlamat masing-masing. Akhirnys kita melihat satu hakikat yang jelas, kekufuran di dunia ini jauh mendahului ketundukan dan keimanan kepada Allah.
Mengapa terjadi demikian? Hakikatnya, Allah telah menjelaskan kepada manusia melalui al Quran dan rasulNya bahawa hal sedemikian berlaku adalah kerana kesalahan manusia sendiri. Kesan kesalahan itulah yang menyebabkan manusia sering menolak untuk menerima segala keterangan dan bukti yang dihadapkan di hadapannya. Manusia berkeras untuk mengenal Allah dengan cara mereka, bukan dengan cara yang telah ditetapkan Allah sendiri secara mesti. Mengenal Allah adalah dengan akal, tetapi manusia berkeras bahawa selagi mereka tidak melihat Allah dengan panca indera mereka, maka selagi itulah mereka enggan untuk beriman dan tunduk kepada perintah tuhannya. Jika begitu, tidakkah anda dapat memerhatikan bagaimana mungkin kita akan sampai ke Singapura dengan mengambil laluan menuju kota Bangkok? Anda tanyalah non muslim di sebelah anda, mengapa mereka enggan memeluk Islam? Anda akan diberikan tiga jawaban mudah dan kesemuanya adalah gambaran kepada kesalahan-kesalahan yang ada di dalam diri mereka yang akan dijelaskan selepas ini.
Pertama, kerana mereka tidak melihat Allah. Hampir semua agama selain Islam menyembah tuhan yang dilihat walaupun dalam tafsiran yang pelbagai yang membayangkan keretakan dan belahan yang saling mendedahkan hakikat kepalsuan agama-agama tersebut. Mengapa begitu? Kerana mereka memaksakan diri sendiri untuk tidak memperakui selain apa yang diakui oleh mata dan telinag sahaja. Justeru Allah hilang daripada pertimbangan mereka kerana Allah itu termasuk urusan ghaibiyat. Ketika muslim menyembah Allah yang paling hakiki kewujudannya, mereka pula menuduh muslim sebagai penyembah waham dan dongengan!? Kedua, kerana mereka enggan menerima taklif dan bebanan agama Islam yang bercanggah dengan kehendak nafsu mereka seperti solat lima waktu, puasa dan berjihad di jalan Allah. Ertinya mereka segera memuktamadkan pencarian pra matang bahawa kehendak nafsu hendaklah diutamakan. Dalam erti yang lain, mereka mengenepikan akal.
Bolehkah anda bayangkan bahawa mereka akan menemui Allah dengan nafsu sebagai ganti akal? Mustahil bukan? Ketiga, kerana mereka melihat umat Islam lemah dan mereka lebih maju dan berilmu berbanding umat Islam. Ertinya, ketika menilai Islam , mereka menjadikan umatnya sebagai neraca pada benar atau palsunya ugama Islam. Sudah pasti ia adalah satu pertimbangan yang ditolak akal. Ia seperti menolak untuk membeli kereta Honda dengan alasan pemandunya selalu mabuk! Mengapa pula manusia bertindak sedemikian yang tidak mendatangkan apa-apa selain kerugian dan malapetaka buat diri sendiri? Mengapa begitu sukar untuk manusia mengenal hakikat kebenaran agama Islam sedangkan Islam dan akal adalah bagaikan bersaudara rapatnya? Ya, sekarang mari melihat jawaban al Quran yang bangkit menerangkan kepada manusia bahawa segala kecelaruan adalah disebabkan oleh mereka sendiri secara sengaja.
Said Hawa di dalam bukunya, ‘ALLAH’ menjelaskan empat faktor manusia terbias daripada mengenali Allah; Pertama, kejahilan. Maksud firman Allah: ‘Dan berkatalah orang-orang yang tidak tahu (jahil); ‘Kalaulah Allah dapat bercakap dengan kami atau datang kepada kami satu tanda kebesaranNya.’ Begitulah orang-orang terdahulu sebelum mereka juga berkata sama seperti kata-kata mereka. Hati mereka sama saling tak tumpah. Sungguh kami telah terangkan ayat-ayat kebesaran kepada orang-orang yang yakin.’ al Baqarah;118 Ayat ini menyifatkan mereka yang menuntut untuk melihat Allah sebagai mereka yang jahil. Ia juga menjelaskan bahawa golongan ini terus wujud dari dulu sehingga sekarang. Maka jelas sekali mereka gagal memanfaatkan kuasa akal mereka dek kejahilan yang berpunca daripada dalm diri mereka sendiri. Kalaulah mereka mencari ilmu..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan